Lima pemandu e-hailing didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan enam lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di dalam kenderaan masing-masing bulan lalu.

MELAKA – Tindakan lima pemandu e-hailing membenarkan enam lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di dalam kenderaan masing-masing bulan lalu membawa padah apabila didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hakim Mohd Sabri Ismail dan Dharmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Taufiq Md Isa, 30, Mohd Fhairul Arifin Shaharudin, 39, Shahrulnizam Abu Hanafi, 46, Muhammad Hafiz Rudi, 35 dan Syed Salim Syed Anuar, 34 selepas menerima pengakuan tertuduh dalam dua prosiding berasingan.

Mengikut pertuduhan terhadap Mohd Taufiq dan Muhammad Hafiz, mereka telah membenarkan dua warganegara Indonesia imigran haram berada dalam kenderaan masing-masing jenis Proton Persona yang mana mereka sebagai penduduk yang mempunyai kawalan ke atas kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan berasingan di kawasan persisiran pantai Klebang, Melaka Tengah kira-kira pukul 12 tengah hari hingga 11 malam pada 14 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, mereka boleh didenda minimum RM5,000 sehingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Sementara itu, tertuduh Syed Salim, Mohd Fhairul dan Shahrulnizam juga masing-masing berdepan pertuduhan sama telah membenarkan seorang warganegara Indonesia imigran haram berada dalam kenderaan mereka.

Kesalahan itu dilakukan pada waktu dan tarikh sama sekitar kawasan R&R Ayer Keroh dan persisiran pantai Klebang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan dan Umar Zulkarnain.

Terdahulu, tertuduh melalui peguam masing-masing merayu hukuman diringankan dengan alasan pengakuan dibuat menjimatkan masa dan kos mahkamah, selain sudah insaf dan mempunyai tanggungan keluarga.

N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Mohd Sabri membenarkan Mohd Taufiq, Fairul dan Shahrul Nizam didenda RM5,000 bagi setiap PATI dibawa atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Hakim Dhamafikri pula menjatuhkan hukuman tertuduh Syed Salim dan Muhammad Hafiz, didenda RM5,000 bagi setiap PATI atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.