KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO akan melancarkan memorandum menuntut keadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang berhadapan dengan pendakwaan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarbangsa (IPIC).
Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Salleh berkata, memorandum itu akan dilancarkan ke seluruh negara dengan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan untuk meminta kajian semula kes dihadapi Najib.
“Sebelum ini Pemuda telah membuat laporan polis untuk menuntut dokumen yang telah dikeluarkan bagi kes 1MDB dan IPIC, yang didapati tidak perlukan pendakwaan, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Peguam Negara.
“Maka, tindakan selanjutnya yang lebih agresif mengumpul tandatangan. Kalau benar memo itu sahih, maka kita percaya Najib kali ini betul-betul berdepan dengan dakwaan terpilih dan tidak mendapat keadilan sebaiknya.
“Memorandum yang kita lancarkan ini akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar baginda dapat menasihat atau mengambil langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda di Bangunan Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Akmal, Biro Peguam Pemuda UMNO Malaysia akan mengetuai proses mengumpul tandatangan itu bagi keadilan sebaiknya kepada Najib.
Sementara itu, beliau berkata, Pemuda UMNO akan memperkenalkan Program Pemuda Sambung Belajar sebagai langkah dan usaha sayap parti itu mengambil berat masa depan anak muda yang tercicir dalam pelajaran.
Katanya, program itu melibatkan usaha Pembangunan belia yang diadakan dengan kerjasama Universiti MAHSA dan institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kita menyasarkan kira-kira 2,000 anak muda di seluruh negara yang berminat menyambung pelajaran untuk diserapkan ke IPT yang telah kita kenal pasti.
“Mereka boleh mendaftar dengan UMNO Bahagian masing-masing dan pengambilan bermula akhir tahun ini bagi mengikuti kursus microcredential seperti pemasaran digital dan keusahawanan melalui kecerdasan buatan,” katanya.
Beliau menjelaskan, inisiatif ini bukan mempolitikkan pendidikan, bahkan kepentingannya adalah melangkaui politik dan menjadi tuntutan Pemuda UMNO memastikan generasi muda memiliki peluang terbaik untuk masa depan mereka.
Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang, Dr. Akmal memberitahu, Pemuda telah membuat persiapan rapi.
“Persiapan menghadapi PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini telah diberi perhatian rapi dari segenap aspek untuk melancarkan segala gerak kerja yang direncanakan demi memastikan sokongan rakyat terus setia sama dengan kerajaan perpaduan.
“Mengambil kira keputusan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor baru-baru ini, sepenuh rasa syukur dizahirkan kerana kerusi milik rakan Kongsi dalam kerajaan perpaduan berjaya dipertahankan.
“Kejayaan ini tidak boleh membuatkan kita berasa selesa dan mengambil mudah. Kini giliran Barisan Nasional (BN) mewakili kerajaan perpaduan bertanding di DUN Pelangai dan penambahbaikan gerak kerja akan terus dilakukan,” kata beliau.
Beliau turut memberi pandangan, suasana politik tanah air kini berada pada tahap yang tepu dan menuntut agar pengisian terhadap agenda Pembangunan negara dan sosial perlu diberikan tumpuan serius. – MalaysiaGazette