Gambar Hiasan

ALOR SETAR – Lima anggota penguat kuasa sebuah agensi direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot nelayan di negeri ini, antara 2018 hingga 2021.

Perintah reman terhadap kesemua mereka dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 8.30 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lima suspek tersebut adalah antara sembilan penguat kuasa yang ditahan SPRM semalam kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot nelayan dan ‘runner’ antara 2018 hingga 2021.

Semua anggota penguat kuasa berkenaan disyaki menerima rasuah tersebut sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Turut ditahan semalam ialah dua orang awam yang dipercayai memberi rasuah sebanyak kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa terbabit yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.

Kesemua 11 suspek berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar.

Selain lima penguat kuasa yang direman hari ini, suspek lain termasuk dua orang awam yang ditahan telah dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA