Norena (tengah) menunjukkan aktiviti sindiket penyeludupan diesel di negeri ini yang semakin berani menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram dengan membuka stesen minyak mini untuk mengaut keuntungan mudah di Paya Rumput, Melaka hari ini.

MELAKA – Sindiket penyeludupan diesel di negeri ini semakin berani apabila menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram dengan membuka stesen minyak mini untuk mengaut keuntungan mudah.

Tindakan mereka sejak dua bulan lalu bagaimanapun  dihidu pihak berkuasa apabila memberkas empat lelaki yang dipercayai terlibat menjalankan perniagaan itu menggunakan dua buah premis di Paya Rumput di sini malam tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia 20-an sehingga 40-an itu ditahan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman.

“Kesemua mereka dipercayai telah mengumpul kira-kira 25,000 liter minyak diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM87,500 menggunakan tangki minyak sebelum menjualnya semula secara haram.

“Terdapat satu lubang kecil ditebuk pada dinding yang menghubungkan tiub penyalur menyedut diesel dari tangki simpanan ke lori pelanggan seolah-olah ia stesen minyak berdaftar,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di Paya Rumput di sini hari ini.

Jelas Norena, suspek menggunakan dua buah premis untuk menjalankan kegiatan tersebut yang digunakan sebagai stor penyimpanan dan stesen minyak mini haram untuk kegunaan kenderaan industri mengisi diesel.

“Modus operandinya mereka tidak lagi keluar menghantar minyak sebaliknya menunggu lori-lori industri datang premis haram ini untuk mengisi minyak diesel pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Kita percaya mereka baharu aktif sejak dua bulan lalu malah suspek turut tinggal di premis berkenaan kerana terdapat kemudahan seperti dan dapur,” katanya.

Kesemua bekalan dan barangan termasuk kenderaan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM320,000 dirampas dan suspek disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) Akta yang sama. – MalaysiaGazette