Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur bakal melaksanakan Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya Fasa 2 yang lebih tegas dan agresif bermula 15 sehingga 29 September ini.

Oleh demikian para pengguna jalan raya di ibu kota diingatkan agar memandu kenderaan dengan lebih bertanggungjawab termasuk pada waktu puncak di sebelah pagi dan petang tanpa sebarang alasan remeh bagi mengelak berdepan tindakan saman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi fasa kedua itu akan tertumpu membabitkan sebanyak 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan tersebut bermula Jumaat ini.

“Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

“Sebanyak 16 lokasi menjadi tumpuan lokasi berkenaan ini antaranya Persimpangan Jalan Tun Razak, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Persimpangan Jalan Raja Laut dan Persimpangan Jalan Sultan Ismail.

“Sama seperti Op Fasa 1, tumpuan penguatkuasaan untuk Fasa 2 ini akan dikuatkuasakan secara lebih agresif pada waktu puncak iaitu waktu pagi dan waktu petang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Allaudeen, Operasi Fasa 1 yang dilaksanakan sebelum ini telah mendapat kesan yang amat positif terutama membabitkan kepatuhan orang ramai terhadap peraturan jalan raya.

Katanya, untuk Fasa kedua bermula Jumaat ini, seramai 1,000 pegawai dan anggota polis akan terbabit dalam operasi ini yang akan turut membabitkan tiga agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Untuk makluman, polis berjaya mengeluarkan sebanyak 157,000 saman sepanjang tempoh pelaksanaan Operasi Fasa 1 bermula 1 Julai hingga 31 Julai lalu.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak mengabaikan tanda lalu lintas dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pihak selain tidak akan berkompromi dengan pihak yang terbabit dalam melakukan kesalahan jalan raya,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semuga operasi ini meliputi keseluruhan wilayah Persekutuan, jgn pula kawasan seperti Wangsa Melawati, wangsa maju, sri rampai dianak tiri seumpama tidak termasuk dibawah wilayah persekutuan, kerana kawasan kawasan ini banyak pengguna warga asing indonesia, Pakistan, Bangladesh dll yg kebal tindakan undang undang, seumpama negara mereka.

Comments are closed.