Lee Juen (tengah) bersama dua anak perempuannya menunjukkan jari masing-masing selepas selesai mengundi di SMK Seri Perdana, Kluang, hari ini

KLUANG – Seorang ibu berjaya memujuk dua anak perempuannya yang bekerja di Singapura pulang untuk mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.

Chow Lee Juen, 63, mengakui lega dan gembira apabila dua anaknya itu bersetuju untuk balik ke sini dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Dia berkata, dua anaknya yang berusia 30 dan 36 itu menetap di Johor Bahru dan bekerja di republik tersebut sejak beberapa tahun lalu.

“Pada mulanya mereka tidak berminat untuk balik mengundi kerana bukan membabitkan PRU (pilihan raya umum) atau PRN (pilihan raya negeri).

“Namun saya nasihat mereka mengundi dan guna kuasa untuk pilih wakil rakyat baharu.

“Mereka akhirnya bersetuju untuk balik hari ini, boleh juga melawat keluarga sekali,” katanya ditemui di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini meminta pengundi berdaftar Mahkota yang bekerja di Singapura supaya pulang menunaikan tanggungjawab.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien Syed Abdullah yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK DUN Mahkota yang terletak di bawah Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah menang kerusi itu ketika PRN Johor pada 2022, dengan majoriti 5,166 undi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast