Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Nasib Isham Jalil, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diketahui pada mesyuarat majlis tersebut yang berlangsung malam ini.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn kira-kira pukul 8.30 malam.

Isham dalam satu perkongsian di media sosial baru-baru ini mendakwa, akan berlaku pemecatan ahli parti termasuk beliau dalam mesyuarat MKT yang akan berlangsung minggu ini.

Menurutnya, pemecatan itu dikaitkan dengan kenyataan beliau yang kononnya menyuruh ahli UMNO jangan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya.

Isham mendakwa, terdapat ahli MKT UMNO pro-DAP meminta meletakkan jawatan namun beliau enggan berbuat demikian kerana dia dipilih oleh akar umbi untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Dia kata kononnya saya suruh ahli UMNO jangan undi PH. Ini tidak benar. Saya tidak pernah suruh ahli UMNO jangan undi PH atau DAP. Ini adalah fitnah.

“Apa yang saya kata ialah saya akan fokus kepada kawasan UMNO. Boleh lihat dalam ‘live’ saya beberapa bulan lalu di Facebook. Yang tulis tajuk kononnya saya kata jangan undi PH itu adalah satu akhbar Cina dan itu tidak betul,” katanya.

Isham menjelaskan, akhbar berbahasa Cina menulis kononnya beliau berkata jangan undi PH, dan perkara itu tidak betul.

“Mereka telah pun minta maaf kepada saya dan keluarkan pembetulan, dan pembetulan ini telah pun saya maklumkan kepada MKT melalui whatsapp beberapa bulan yang lalu semasa isu ini timbul,” katanya.

Isham sebelum ini dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong hanya bertitah supaya parti-parti bekerjasama dalam satu kerajaan dan bukan mengarahkan parti terbabit termasuk UMNO untuk tidak bertanding dalam pilihan raya menentang satu sama lain.

Isham turut memberitahu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram menyaksikan BN kehilangan kira-kira 27,000 undi Melayu.

Selain itu, UMNO dan BN menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu bulan lalu dipercayai akibat penolakan orang Melayu dan akar umbi parti.-MalaysiaGazette