Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pavilion Gate To Global sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menghalang mana-mana pihak yang mahu menganjur perhimpunan aman membantah terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) kes mahkamahnya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ini kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin rakyatnya untuk melakukan tunjuk perasaan termasuk secara perhimpunan aman.

“Kita sebuah negara demokrasi, ada pihak yang mahu menganjurkan (himpunan), ada pihak yang menganjurkan satu lagi, saya harap tidak berlaku pertempuran di jalanan,” katanya pada sidang media di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Ahad lalu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Himpunan Selamatkan Malaysia pada Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, himpunan itu sebagai bantahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan DNAA kepada Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi, 4 September lalu.

Susulan perkembangan itu, Kumpulan Baju Merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos pula tidak teragak-agak turun ke jalanan dan bertembung dengan Pemuda PN jika mahu meneruskan demonstrasi itu, Sabtu ini.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia akan menggerakkan ribuan ahlinya untuk menghalang tunjuk perasaan itu menjejaskan keharmonian negara. – MalaysiaGazette.