Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya memberi penjelasan berhubung prosiding mahkamah berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA), membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah itu bertujuan untuk berlaku adil kepada pembangkang yang sememangnya mahu penjelasan diberikan berhubung perkara yang dianggap isu terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Katanya, beliau boleh mempertahankan Perdana Menteri, namun, dalam isu tersebut beliau mahu supaya perkara itu dinoktah pada sesi Dewan Rakyat, kali ini.

I will not throw the leader under the bus (saya tak akan campak pemimpin saya di bawah bas)…saya akan pertahankannya di dewan ini.

“Tetapi, untuk berlaku adil supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami di backbenchers ini…kami nak dengar dari Perdana Menteri sendiri supaya isu DNAA ini dinoktahkan juga di dewan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, ketika perbahasan, Hassan berkata, beliau sememangnya mahu mempertahankan kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau melihat dalam tempoh dua hari berturut-turut lalu Perdana Menteri telah dikritik dengan teruk berkaitan isu berkenaan.

Ujarnya, beliau sabar mendengar ucapan yang penuh dengan kritikan itu dan mahu mempertahankan apa yang dilontarkan terhadap Perdana Menteri.

“Berkenaan dengan DNAA ini yang kita faham maksudnya, kita tak boleh salahkan hakim…kita tak boleh salahkan badan kehakiman.

“Saya melihat Peguam Negara bertanggungjawab dalam soal melepas tanpa membebaskan dengan kes yang berkenaan di bawah Perkara 145 (3) Perlembangaan Persekutuan, kuasa budi biacara peguam negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kurang berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah berhubung perkara berkenaan dan merasakan Peguam Negara perlu memikul tanggungjawab tersebut.

Katanya, adalah amat sesuai agar jawatankuasa hak asasi dan institusi reformasi memanggil peguam negara yang terdahulu dan kini bagi mendapatkan penjelasan.

“Mesti datang, mesti datang, datang nak jawab atau ada benda tak boleh nak disebut itu hal (lain). Tetapi, mesti datang…tak boleh kata tak boleh datang, ini jawatankuasa Parlimen satu badan yang ada integriti,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast