Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO akan memperkukuhkan dan memperkasakan lagi hubungan kerjasama dengan rakan-rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung UMNO,  Datuk Dr. Asyraf Wajdi berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi.

Katanya, pengukuhan tersebut melibatkan semua peringkat termasuk di negeri dan bahagian seluruh Malaysia

“Bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana ketetapan Majlis Kerja Tertinggi pada 23 November 2022 dan diabsahkan di Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 10 Jun 2023 lalu,” kata Asyraf Wajdi dalam sidang media.

Sementara itu, menurut beliau, UMNO mengambil langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan bedah siasat keputusan enam Pilihan Raya Negeri yang telah  diperincikan dan diperolehi daripada Bahagian UMNO seluruh Malaysia.

Katanya, Konvensyen UMNO  peringkat bahagian akan diadakan bagi memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti.

Konvensyen itu juga bagi membumikan kefahaman ahli-ahli parti peringkat akar umbi mengenai ketetapan-ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip dan halatuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, MKT UMNO turut meminta seluruh pimpinan parti yang menganggotai pentadbiran negara supaya memperteguhkan usaha dengan memfokuskan agenda mensejahterakan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

Ini terutamanya menteri, timbalan, pengerusi agensi dan syarikat milik kerajaan.

UMNO turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan kembali Konvensyen Ekonomi Bumiputera.

UMNO menawarkan untuk mengurus-selia penganjurannya sebagaimana yang pernah UMNO laksanakan pada tahun 1965 sehingga tertubuhnya MARA setahun kemudian.-MalaysiaGazette