Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Penganjur Himpunan Aman Selamatkan Malaysia pada Sabtu ini didapati tidak mematuhi sepenuhnya peruntukan yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihak penganjur gagal memberikan butiran lengkap ketika menyerahkan notis pemberitahuan mengenai penganjuran himpunan tersebut.

“Pihak penganjur tidak menyatakan butiran penting dalam penyerahan notis pemakluman awal mereka seperti nama penganjur perhimpunan serta lokasi tempat berhimpun dan sebagainya.

“Semua perkara itu tak cukup sifat (tidak lengkap) dalam permohonan maka ia boleh dianggap kami tidak menerima notis pemberitahuan.

“Bagaimanakah perkara yang penting dan spesifik seperti ini tidak diambil peduli oleh pihak penganjuran yang terdiri daripada individu-individu berpengalaman dalam mengadakan demonstrasi sebelum ini sejak APA 2012 berkuatkuasa.

“Sepatutnya mereka lebih arif dalam notis pemberitahuan tentang penganjuran Himpunan Aman Selamatkan Malaysia kepada polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi.

Ketika ditanya mengenai perhimpunan balas oleh satu kumpulan dikenali Baju Merah, Mohd Shuhaily berkata, semua pihak yang ingin berhimpun harus tahu mereka perlu menyerahkan notis pemakluman kepada polis lima hari sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan.

“Mereka perlu menyatakan di mana lokasi mereka akan berhimpun serta nama pihak penganjur  tetapi sehingga hari ini tiada sebarang notis yang diterima kami dan risikan juga mendapati lokasi himpunan mereka berubah dari masa ke semasa.

“Risikan terbaru kami mendapati ianya akan diadakan di sebuah masjid di Kampung Baru di sini,” katanya.

Mohd Shuhaily juga menegaskan ketiadaan sebarang pengesahan yang jelas dari penganjur boleh membawa kepada pelbagai masalah termasuk kesulitan kepada pengguna jalan raya dan orang awam.

“Kami berharap penganjur dapat lebih bertanggungjawab dalam isu ini dan pihak polis belum lagi berada dalam tahap untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pihak tertentu daripada berada di mana-mana kawasan tertentu.

“Kami tidak mahu bertindak keterlaluan, kami akan menyediakan keanggotaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan seperti mendapatkan perintah mahkamah untuk menyekat mana-mana orang kenamaan daripada menyertai himpunan tersebut.

“Kami tidak mahu pergi sehingga ke tahap itu (perintah mahkamah) melarang individu sertai himpunan.

“Kami bersiap siaga menghadapinya.. aspirasi kami sama seperti aspirasi kerajaan iaitu tidak mahu menyusahkan masyarakat dan menjamin ketenteraman awam,” tegasnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Gagal beri butiran lengkap adalah perkara kecil saja dan boleh diselesaikan dengan kadar segera. Diharap pihak polis dan penganjur dapat berbincang baik2 dan lengkapkan butiran tersebut. Peace!

Comments are closed.