KUALA LUMPUR – Melewati dua dekad, jenama band ST12 tidak mampu disangkal lagi apabila populariti kumpulan yag ditubuhkan di Bandung, Indonesia pada 2004 masih dikenali.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap itu, semangat juang Ilham Febry atau Pepep (dram) dan Muh.

Indra Gunawan atau Indra (bass) mempertahankan jenama ST12 supaya kekal sebaris band popular Indonesia lain.

Semangat itu diterjemahkan ST12 menerusi ‘ST12 Live In Malaysia’ di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November akan datang.

Kumpulan tersebut menampilkan Firman Siagian dan juara Indonesian Idol musim kelima, Aris selaku vokalis.

Bagi Pepep sebagai pemain drum, ST12 tidak sekadar sebuah band sebaliknya dia dan Indra bertekad untuk memastikan jenama yang sudah terpahat hampir 20 tahun itu kekal relevan serta terus bertahan.

“ST12 bukan lagi sekadar sebuah band, sebaliknya ia sudah menjadi sebuah jenama. Justeru, sesiapapun yang menggalas peranan sebagai vokalis, jenama ST12 tetap dibawa bersama.

“ST12 sentiasa mencuba dengan membuka kesempatan untuk berkolaborasi dengan semua penyanyi berbakat hebat. Alhamdulillah, usaha ST12 berhasil apabila kerjasama kami dengan beberapa penyanyi terdahulu meraih sukses luar biasa,” katanya.

Sebagai contoh katanya, percubaan ST12 menampilkan Ridho menerusi single Putih Putih Melati pada 2013 berjaya mencatat 16 platinum di Asia, disusuli kolaborasi bersama Firman menerusi Kepingan Hati yang melakar 10 platinum.

Dibawakan My Legacy Entertainment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Laskhar Entertainment, ST12 Live In Malaysia turut menampilkan penyanyi popular Malaysia, Hazama.-MalaysiaGazette