Datin Dr Raskidah Ali (tengah).

KUALA LUMPUR – Jenama rekaan emas beridentiti tempatan, Trishya & Co bakal ke pentas global apabila akan mempamerkan koleksi produknya di satu pameran fesyen di kota London akhir tahun ini.

Pengasas Bersama Trishya & Co, Datin Dr Raskidah Ali berkata, ia melibatkan koleksi loket pesona  seperti bahulu, wau bulan, kuih lapis, gong dan durian yang disuai padan dengan gelang tangan gelung di mana set ikonik itu dinamakan sebagai Links of Malaysia (LOM).

Menurut beliau, pihaknya amat teruja dengan tawaran ke sana namun sudah bersedia berkongsi keunikan rekaan barangan kemas jenama itu di peringkat antabarangsa.

“Kami di Trishya & Co amat berbesar hati menerima undangan ini yang diperkenalkan oleh sahabat saya yang merupakan peminat LOM dan berharap penyertaan ke pameran fesyen terbesar di London itu nanti dapat mengangkat jenama lokal setaraf produk antarabangsa.

“Melalui Trishya & Co, kami bukan sahaja menghasilkan rekaan barangan kemas untuk wanita dan aksesori lelaki yang berkualiti tinggi malah menyasarkan menjana ekonomi negara dengan menampilkan rekaan bercirikan Malaysia yang boleh dijadikan kenang-kenangan buat pelancong yang berkunjung ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Trishya & Co Opulent yang turut memperkenalkan koleksi terbaharu, Lady Bug yang juga merupakan koleksi pertama kanak-kanak keluaran jenama itu.

Nayli Batrishya Norbik Basha.

Sementara itu, Pengasas Trishya & Co, Nayli Batrishya Norbik Basha mengakui mendapat inspirasi dengan sebuah jenama terkenal yang popular dengan koleksi loket pesona atau charms yang menampilkan rekaan sinonim dengan imej sesebuah negara.

Pada masa sama, beliau yang gemar melancong tertarik membeli aksesori wanita seperti gelang, loket, cincin, rantai dan anting-anting di butik barangan kemas terkenal sebagai cenderahati untuk diri sendiri.

“Cuma kebanyakan koleksi loket di butik berkenaan diperbuat daripada perak dan emas putih. Jadi saya terfikir, kenapa tidak Trishya & Co mengkomersilkan identiti Malaysia melalui rekaan emas 916 yang semua tahu emas adalah satu pelaburan yang baik.

“Di sinilah bermulanya idea menghasilkan koleksi LOM dalam usaha menarik minat golongan muda yang gemar dengam reka bentuk yang unik, muda dan trendy.

“Pada masa yang sama, saya mahu menddik remaja melakukan pelaburan emas daripada membeli sesuatu yang tidak memberi keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Trishya & Co. turut memperkenalkan pelan simpanan emas secara bijak ditawarkan serendah RM200 dalam tempoh enam hingga 12 bulan. – MalaysiaGazette

Rekaan koleksi loket pesona seperti bahulu, wau bulan, kuih lapis, gong dan durian.