Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan insiden pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Sungai Ara di sini, dirotan guru kerana menghisap vape sebagai amaran untuk kerajaan lebih tegas lagi membendung penggunaan vape dalam kalangan remaja bawah umur.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow berkata, insiden itu turut memberi ‘wake-up call’ kepada kerajaan serta pihak sekolah bahawa mereka tidak boleh hanya fokus isu mangsa cedera pada bahagian mata akibat dirotan.

Sebaliknya, semua pihak berkenaan perlu mencari penyelesaian membabitkan penggunaan vape dalam kalangan pelajar.

Jelas beliau, berdasarkan tinjauan pihaknya bilangan pelajar dan murid yang menghisap rokok elektronik atau vape di negara ini ditahap membimbangkan ekoran statistik menunjukkan berlaku peningkatan tiga kali ganda penggunaan vape dalam kalangan mereka.

“Tindakan menghisap vape di sekolah sesuatu yang melampau namun penggunaan vape dalam kalangan budak sekolah bukan satu perkara baharu.

“Saya sendiri banyak mendapat aduan daripada guru-guru mengenai penggunaan vape dalam kalangan pelajar di bilik darjah ketika guru tiada di kelas sertas tandas.

“Bagi saya semua ini berlaku disebabkan negara kita tidak mempunyai peraturan atau undang-undang melarang pembelian vape khususnya mereka yang bawah umur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, walaupun terdapat surat pekeliling mengenai penggunaan vape di kawasan sekolah namun penggunaannya sudah tidak boleh dikawal lagi.

Dalam perkembangan sama, Subbarow turut meminta pihak sekolah menetapkan peraturan sekurang-kurangnya dua guru perlu ditempatkan ketika mana-mana murid dikenakan hukuman atas kesalahannya di sekolah.

MalaysiaGazette semalam melaporkan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Sungai Ara di sini, mengalami pendarahan pada mata kanan akibat dirotan guru disiplin.

Bapa mangsa Mazni Mohamad, 47, mendakwa, anaknya ditangkap selepas didapati menghisap vape di dalam kelas semasa sesi mata pelajaran sains.

Pelajar berusia 17 tahun ini kini dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

Pelajar dakwa alami pendarahan mata akibat dirotan guru