Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 22 laporan polis daripada pihak yang tidak bersetuju dengan ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang dirancang di ibu negara pada 16 September ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua laporan polis berkenaan diterima daripada pemilik premis serta orang awam dari seluruh negara.

Katanya, mereka membuat laporan kerana tidak berpuas hati dengan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dirancang pihak tertentu.

“Mengenai kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, setakat ini juga tiada sebarang notis pemakluman diberikan kepada kita (polis),” katanya selepas dihubungi tengah hari tadi.

Tambah beliau, polis boleh menyiasat pihak yang mengadakan perhimpunan terbabit di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

“Tiada sebab himpunan itu perlu diadakan kerana pihak polis sentiasa memastikan negara dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Seperti kenyataan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) yang menyifatkan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia tidak menghormati sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

“Polis akan sentiasa memastikan keamanan dan ketenteraman awam terpelihara sebaiknya,” ujarnya.

Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya tidak menerima notis makluman awal tentang penganjuran himpunan aman ini.

“Sepatutnya penganjur memberikan notis pemakluman awal penganjuran himpunan itu kepada pihak polis lima hari sebelum hari kejadian (Sabtu),” tegasnya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain turut mengesahkan setakat ini tiada sebarang notis pemakluman yang diterima oleh pihaknya daripada penganjur tersebut.

Lagipun katanya, polis mendapati penganjur gagal mengemukakan butiran lengkap yang diperlukan.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menyebut soal sambutan hari Malaysia, teringat peristiwa sejarah lalu yang mana geng2 anti perlembagaan negara telah menterbalikkan bendera Malaysia sambil bergambar secara berkumpulan.

    Sudahkah pihak polis menyiasat mereka2 didalam gambar tersebut yang secara terang2an telah menghina jata negara?

    Tak susah sangat kot nak siasat sebab muka dah ada dalam gambar?

    Selamat menyambut hari Malaysia, bermula dengan SG4, harap2 tak lama lagi akan berakhir dengan SG13!

    Ramai suka angka 13, peace!

Comments are closed.