Orang ramai berarak dari Masjid Jamek Kampung Baru menuju ke Sogo pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia mula bersurai berkumpul di pekarangan sebuah pusat membeli belah di Jalan Dang Wangi, hari ini.

Himpunan bermula di Masjid Jamek Kampung Baru pada jam 2 petang, berakhir 3.30 petang tadi.

Antara yang naik ke pentas utama himpunan tersebut ialah Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Datuk Razali Idris dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) , Muhammad Rafique Rashid Ali.

“Kami tuntut pertama dakwa Ahmad Zahid dan bebaskan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Jabatan Peguam Negara dari kuasa Eksekutif dan ketiga keadilan untuk semua.

“Jangan rakyat curi RM22 di masjid dipenjara 10 tahun tapi yang curi berjuta-juta dilepaskan begitu sahaja,” kata Tun Faisal.

Perhimpunan itu diadakan bagi membantah keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Malah, himpunan itu mahu kerajaan mendakwa semula Ahmad Zahid atas pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Dalam himpunan tersebut, para peserta melaungkan ‘dakwa Ahmad Zahid’.

Prosiding kes berkenaan sudah dihentikan pada 4 September lalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Ahmad Zahid daripada pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia mula berkumpul di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.