BAYAN BARU – Parti Gerakan akan membawa usul mengenai penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam Perikatan Nasional (PN) pada mesyuarat tertinggi gabungan itu yang dijangka berlangsung sebelum hari penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya percaya penyertaan MUDA akan memantapkan lagi pembangkang susulan pendirian serta ideologi parti itu sejajar dengan PN iaitu sebuah gabungan berintegriti serta anti rasuah.
Jelas beliau, bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat dengan MUDA berkaitan perkara itu.
“Kita alu-alukan MUDA bersama-sama dengan PN bukan sahaja di blok pembangkang tetapi diterima sebagai komponen parti, associate atau Friend’s Of PN pada pandangan saya.
“Ketika di Parlimen kita juga ada nyatakan penerimaan MUDA sebagai pembangkang cuma perbincangan itu bukan secara rasmi dan senyuman daripada Syed Saddiq dikira sebagai satu respon positif bagi saya.
“Bagaimanapun, semua ini memerlukan perbincangan Majlis Tertinggi PN dan kita akan bawa usul ini pada mesyuarat akan datang iaitu sebelum hari penamaan calon DUN Pelangai,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bendera Malaysia kepada orang awam di Pasar Sungai Ara di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dominic Lau menyifatkan Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal susulan keadaan negara kini kecoh dengan kenaikan harga barang serta keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi.
“Kita tak boleh terima isu DNAA Ahmad Zahid meskipun Kerajaan (Perpaduan) mengulangi tiada campur tangan kerana ia membabitkan insitusi kehakiman.
“Ini kerana dalam satu temu bual Perdana Menteri dengan sebuah agensi antarabangsa baru-baru ini, beliau menyatakan ada perbincangan dengan Peguam Negara (AG) membabitkan kes Ahmad Zahid.. ini maksud apa? Maksudnya kehakiman kita bukan independent lagi.
“Perdana Menteri bohong dalam ucapannya di Pilihan Raya Kecil Pulau dan Simpang Jeram bahawa tiada campur tangan beliau dalam kes Ahmad Zahid malah beliau juga gagal memimpin negara kerana sudah sembilan bulan masih tiada sebarang rancangan menaikan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette