Wan Rosdy Wan Ismail bergambar bersama-sama para peserta sambutan Hari Malaysia di Bentong,

BENTONG – Agenda membangunkan Pelangai yang menjadi perjuangan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johar Harun diteruskan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukkan RM5.5 juta bagi 32 pembangunan di kawasan DUN Pelangai bukan gula-gula sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ.

Antaranya projek memasang lampu jalan, menaik taraf jalan raya dan beberapa surau serta lain-lain.

Menurutnya, peruntukan ini adalah peruntukan yang dimohon oleh Johari.

“Peruntukkan tersebut telah pun diluluskan dan hanya menantikan giliran mencabut undi bagi proses tender pada Isnin ini.

“Ini bukan gula-gula PRK, bukan. Kita pada dulu lagi kalau tidak ada pilihan raya kita tetap bagi bantuan anak-anak masuk sekolah, kita teruskan. Bukan pilihan raya baru kita nak buat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Hari Malaysia peringkat Negeri Pahang di Dataran Niaga Felda Chemomoi, Bentong hari ini.

Jelas Wan Rosdy, pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan urusan tender, mengikut prosedur dan garis panduan dalam proses kewangan yang sudah ditetapkan.

Katanya, Kerajaan Pusat akan memberikan kelulusan serta-merta kepada projek-projek yang berkaitan dengan rakyat, buktikan bukan Pelangai sahaja menerima peruntukan tetapi DUN lain di Pahang juga. – MalaysiaGazette