KEPELBAGAIAN fungsi kemudahan dalam talian terutamanya yang berkaitan dengan media sosial telah banyak memberikan manfaat kepada masyarakat dunia. Pelbagai aktiviti yang dapat menjimatkan masa dan ruang telah dapat dijalankan dengan kemudahan ini. Namun, tiada apa yang sempurna lebih-lebih lagi hasil ciptaan manusia yang tentunya mempunyai halangan dan cabaran yang perlu ditangani.
Akhir-akhir ini, isu ’scammer’ sering kali dipaparkan di media-media tempatan. Masyarakat yang celik teknologi hari ini juga sememangnya ada pengetahuan tentang isu tersebut. Namun begitu, pemahaman yang betul adalah sangat penting terutamanya dalam mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada aktiviti yang tidak baik ini. Walaupun telah didedahkan dengan pelbagai kes scam yang berlaku, namun ironinya kes ini terus meningkat dari semasa ke semasa.
Malah pihak tidak bertanggungjawab ini terus-terusan menggunakan pelbagai cara yang berbeza dan baharu demi mencapai objektif keji mereka. Disebabkan itu, pengetahuan tentang isu scammer ini amat perlu diambiltahu mengikut peredaran zaman
. Sebagai contoh, baru-baru ini, seorang wanita telah menjadi mangsa scammer apabila ingin membeli seekor kucing berkaki pendek yang pada asalnya diiklankan dengan harga ratusan ringgit sahaja. Namun, beliau telah ditipu sehingga hampir RM40,000 hanya kerana terpedaya dengan pujukan yang berupa prosedur dalam menghantar kucing tersebut dari negara lain ke Malaysia.
Secara logiknya, naluri semula jadi manusia yang diberikan Tuhan adakalanya perlu digunakan apabila merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sesuatu perkara. Contoh yang lain adalah seperti panggilan telefon dari scammer yang melibatkan nama-nama agensi tempatan dengan menggunakan sedikit informasi daripada ID pengguna atau mangsa yang dituju.
Kes lain termasuklah penghantaran dari pembelian dalam talian yang dikatakan belum dituntut. Panggilan-panggilan ini jujurnya tidak perlu menjejaskan mangsa dengan melayani soalan-soalan atau kenyataan mereka kerana jelas, mereka sangat mudah mempercayai panggilan-panggilan daripada mereka yang tidak dikenali.
Seharusnya, kita perlu tahu bahawa pihak tidak bertanggungjawab ini akan terus menggunapakai taktik yang berbeza dari semasa ke semasa untuk mengaburi mangsa
dalam mendapatkan wang secara haram ini. Dalam erti kata lain, masyarakat perlu tahu bahawa kegiatan tidak bermoral ini akan pasti terus berlaku namun mungkin dalam bentuk modus operandi yang berbeza.
Disebabkan itu, masyarakat perlu lebih cakna tentang kesedaran yang melibatkan dunia siber ini daripada menjadi mangsa dengan mengambil tahu dari semasa ke semasa tentang kes yang berlaku, trend penipuan, serta peringatan yang sentiasa dikempenkan dalam bentuk iklan oleh pihak-pihak berwajib. Malah, masyarakat juga perlu ada rasa susah untuk terus mempercayai orang yang tidak dikenali daripada panggilan telefon terutamanya dari agensi-agensi yang tidak pernah berurusan dengan mereka.
Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu ada rasa untuk tidak mahu berkongsi maklumat atau info peribadi dengan mereka yang belum tentu sah daripada agensi-agensi tempatan. Malah, dengan pelbagai kes yang berlaku, masyarakat boleh memberikan jawapan pendek atau tidak menjawab langsung panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
Bagi kes-kes lain dalam talian, masyarakat perlu lebih bijak untuk menilai sama ada tawaran yang dilakukan adalah menggunakan sistem pembayaran yang meragukan atau tidak dan mungkin disertakan dengan prosedur atau langkah-langkah yang terlalu panjang yang melibatkan bayaran-bayaran lain. Ini termasuk kes-kes yang melibatkan hadiah percuma atau tawaran harga yang tidak masuk akal bagi menarik mangsa untuk membeli atau menerima.
Kesimpulannya, tiada siapa yang akan dapat membantu dalam memastikan kita supaya tidak menjadi mangsa melainkan dengan kesedaran kendiri masing-masing. Malah, di antara tips untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa adalah tawaran yang terlalu indah untuk dipercayai yang sering diabaikan masyarakat yang mudah percaya dengan tawaran tersebut.
Tips-tips yang lain pula adalah seperti jangan terlalu mendedahkan maklumat peribadi sendiri di media sosial terutamanya, jangan terus klik kepada pautan link yang
meragukan, lakukan semakan maklumat tentang penjual online yang ingin dihubungi, serta lakukan semakan review pembeli lain tentang barangan atau produk yang ingin dibeli. Dalam erti kata lain, masyarakat perlu lebih bijak dalam menilai sesuatu terutamanya yang melibatkan alam siber ini.
Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri;
Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor;
Dr Kartini Kamaruzzaman
Dr Norsimaa Mustaffa
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)