Orang ramai berkumpul di hadapan Sogo pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023. -

KUALA LUMPUR – Seramai 25 individu telah dikenalpasti untuk diambil keterangan berhubung Perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang diadakan di ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4 (2) (b) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4 (2) (e), (f) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Pada 16 September 2023 jam lebih kurang 12 tengahari, terkesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Kemudiannya pada jam lebih kurang 1.53 tengahari, peserta perhimpunan tersebut telah berarak menuju ke Kompleks Sogo dengan melalui Jalan Raja Alang, Jalan Raja Abdullah, Jalan Sultan Ismail dan seterusnya berhimpun di hadapan Kompleks Sogo, Jalan T. A. Rahman, Kuala Lumpur.

“Hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati seramai lebih kurang 850 orang terdiri daripada Pertubuhan NGO, Ahli Parti Politik, beberapa individu yang dikenal pasti dan sedang dikenal pasti telah menyertai perhimpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dellhan menasihati orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang.

Katanya, tindakan tegas akan diambil dibawah peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa sekiranya mereka didapati tidak mematuhinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast