Foto yang dikongsi Ebit Lew di media sosial

KUALA LUMPUR – Ebit Lew membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah yang dianggap melampau dan tidak berasas.

Pendakwah terkenal itu membuat laporan polis tengah malam tadi sebaik sampai ke Malaysia dari Jeddah, Arab Saudi.

Dalam perkongsian di media sosial Ebit yang kini berdepan dengan beberapa tuduhan di mahkamah turut mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan.

“Baru sampai dari Jeddah 12 tengah malam tadi terus ke balai polis buat report mengenai fitnah-fitnah yang teramat melampau dan langsung tidak berasas ke atas diri saya.

“Saya serahkan pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan. Saya juga telah menyerahkan kepada pihak peguam saya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ringkas di media sosial.

Ebit tidak menyatakan dengan lanjut fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya bagaimanapun beberapa hari lalu seorang wanita Indonesia yang pernah dibantunya Mondy mendakwa dirinya telah dicabul oleh pendakwah tersebut.

Dakwaan itu dibuat dalam temuramah bersama dengan penyanyi rap Caprice dalam podcast yang disiarkan di YouTube.

Wanita yang bertatu di muka dan dilehernya itu mendakwa tangannya telah diusap-usap dan mendakwa dirinya disuruh untuk berlakon sedang solat dan membaca al-Quran.

Namun, dia mengatakan dirinya tidak mahu melakukan perkara itu tetapi tetap disuruh berbuat demikian walaupun untuk satu saat.

Sebelum ini, wanita tersebut telah menjadi tular lagi setelah beberapa klip video di TikTok menunjukkan Mondy kembali ‘free hair’ dan hanya mengenakan topi serta memakai baju berlengan pendek.

Mondy mendapat kecaman hebat kerana dilihat tidak bertudung dan berjubah seperti  berada di Malaysia ketika dibantu Ebit.

Sementara itu Ebit ketika ini berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast