Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin ketika Sesi Penggulungan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bercadang untuk membuka laluan khas kepada khas ke politeknik dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada para pelajar aliran agama, para huffaz dan lepasan maahad tahfiz.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada pelajar aliran agama dan tahfiz melanjutkan pelajaran di peringkat TVET.

“Selepas ini, pelajar tahfiz, aliran agama dan lepasan maahad akan mempunyai peluang serta laluan yang lebih besar dan pelbagai untuk mengikuti pengajian TVET di semua politeknik di bawah KPT.

“Selain daripada perkara yang saya sebutkan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan bahawa kita juga sedang merangka pelan transformasi politeknik yang dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun ini,” katanya ketika menggulung perbahasan lpaoran Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Mohamed Khaled lagi, pelaksanaan itu selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan prinsip serta aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai unggul dalam diri untuk disatukan dengan kemahiran terbaik.

Menerusi dasar itu, kerajaan mahu memastikan golongan huffaz tidak hanya bekerja sebagai imam, guru ataupun bidang berkaitan, sebaliknya hendak mewujudkan kerjaya profesional untuk mereka.

Sebelum ini, Mohamed Khaled berkata, Program Techno Huffaz hanya dilaksanakan secara khusus dan terhad kepada 4 program di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).

“Melalui segala usaha transformasi dan pendigitalan ini, kita harap semua pihak akan terus bersama-sama menyokong dan mengangkat politeknik di bawah KPT sebagai aliran yang setanding dengan jurusan akademik yang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette