Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer

MELAKA – Tiada dokumen perjanjian antara mana-mana syarikat penerbangan komersial dengan kerajaan negeri menjadi punca kegagalan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini sebelum ini.

Perkara itu didedahkan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang sedang merangka ‘hitam putih’ Memorandum Persefahaman (MoU) selepas ini.

“Sebelum ini memang kita tidak ada satu perjanjian yang mengatakan syarikat penerbangan ini mesti mendarat di LTAM sebaliknya mereka akan ikut pada jumlah penumpang dan kalau rasa rugi, mereka akan tamatkan serta-merta.

“Sebab itu saya tak nak ini berulang dan sedang berbincang untuk adakan perjanjian sama ada satu hingga tiga tahun dan mereka tak boleh lagi tamatkan perkhidmatan sesuka hati seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM’23) yang dipengerusikan Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di LTAM di sini hari ini.

Kerajaan negeri Melaka sedia menawarkan insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan komersial yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, Melaka yang terpaksa menghentikan operasi pesawat komersial sejak bulan lalu.

Mengulas lanjut Hameed berkata, setakat ini, sebanyak tujuh syarikat penerbangan komersial termasuk dari Indonesia dan Singapura sudah dipelawa beroperasi di LTAM.

“Bagaimanapun, ini masih dalam perbincangan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk adakan MoU dan bukan lagi sekadar ‘perjanjian mulut’ seperti dulu,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan kekecewaan orang ramai apabila LTAM menghentikan operasi pesawat komersial sejak bulan lalu.

Kali terakhir penerbangan ke Pulau Pinang adalah pada Jun lalu manakala dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos lalu.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 45,000 pengunjung pada KUAM’23 kali ke lapan yang diadakan selama tiga hari bermula 29 September hingga 1 Oktober ini.

Menurutnya, karnival itu boleh disifatkan sebagai sebagai ‘Mini LIMA’ namun dalam skala yang lebih kecil berbanding Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

“Apa yang lebih menarik, pengunjung berpeluang menerokai ruang udara Melaka selama 10 minit menaiki helikopter dengan bayaran RM270 seorang.

“Setakat ini, KUAM ’23 sudah mendapat penyertaan lima negara iaitu Singapura, Jerman, Rusia, Taiwan dan Australia melibatkan 17 juruterbang mereka pada pameran statik 41 buah kapal terbang,” katanya.

Persembahan lain termasuklah lapan pesawat badan berunifom, dua drone, 22 pesawat kecil kelab penerbangan, enam paramotor, sebuah microlight selain persembahan Aerobatic dan payung Terjun oleh 38 penerjun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast