Lokasi kejadian mayat lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning di sini, Sabtu lalu.

ALOR GAJAH – Satu mayat tanpa identiti dipercayai mangsa bunuh ditemui berulat dan hampir reput di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejadian disedari orang awam yang terhidu bau busuk di kawasan semak berkenaan sekitar 10 pagi sebelum menghubungi Balai Polis Pulau Sebang.

Menurutnya, siasatan awal polis di lokasi menjumpai satu mayat dipercayai lelaki tanpa identiti berseluar jeans dalam keadaan berulat serta hampir reput.

Keadaan mayat lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning di sini, Sabtu lalu.

“Siasatan turut mendapati terdapat satu laporan polis dibuat satu keluarga di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin berkaitan kehilangan
seorang lelaki India tempatan namun kita tidak dapat mengaitkannya dengan kejadian ini.

“Tiada dokumen atau objek lain ditemui di kawasan sekitar dan kita masih belum dapat mengesahkan identiti sebenar sehingga mendapat keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan ke atas ahli keluarga terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan bedah siasat terhadap si mati selama empat jam di Unit Forensik Hospital Alor Gajah semalam mendapati punca kematian adalah kecederaan parah akibat objek tajam termasuk pada bahagian leher dan dada.

“Banyak tisu badan yang telah hilang akibat proses pereputan dengan 18 kesan luka tajam di bahagian leher, dada serta kedua-dua belah kaki dan tangan selain retak tulang rahang dan tengkorak.

“Dua tulang lehernya tulang lengan tangan kanan, tulang lutut dan kaki patah selain terdapat tiga kesan luka pada jantung,” katanya.

Tambahnya, sehubungan itu, kes berkenaan yang pada asalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kini disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu MalaysiaGazette hari ini melaporkan kesedihan seorang wanita, K. Vathma, 55, mengenai kehilangan anak sulungnya, R. Darvnrajh, 24, yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibakar dan ditemui di kawasan semak di sini pagi Sabtu lalu.

Sebelum itu, anaknya itu keluar menonton wayang bersama rakan pada malam 9 September lalu dan tidak ditemui sehingga kini. – MalaysiaGazette