Orang ramai berkumpul di hadapan Sogo pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023.

LAUNGAN “Dakwa Zahid” tidak cukup lantang memandangkan kecelaruan tuntutan dan lemahnya pemahaman Gerakan Selamatkan Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin. Himpunan ini menyaksikan betapa lemahnya Perikatan Nasional jika tidak membawa sentimen agama dan bangsa dalam menggerakkan pengikut mereka. Tiga tuntutan utama adalah pendakwaan semula Zahid, membebaskan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari kuasa eksekutif dan keadilan undang-undang kepada rakyat Malaysia.

Tuntutan membebaskan Peguam Negara dari kuasa eksekutif adalah mustahil,yang mana sepatutnya tuntutan tersebut adalah untuk memisahkan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, agar peranan Peguam Negara dipegang oleh seorang sahaja begitu juga dengan peranan Pendakwa Raya sepatutnya dipegang oleh individu berbeza. Ini kerana jika pemisahan ini berlaku, maka kita akan melihat perihal politik dapat dirujuk kepada Peguam Negara (di bawah Menteri undang-undang) manakala dari aspek pendakwaan kita serahkan kepada Pendakwa Raya, sesuai dengan manifesto PH dan BN pada PRU ke-15 yang lalu.

Kecelaruan peserta semakin kelihatan apabila ‘placard’ berkaitan nilai matawang diangkat di kemuncak perhimpunan, iaitu “1 USD: RM4.68” di julang dengan angkuh disertai dengan beberapa ucapan pimpinan PN berkaitan kos sara hidup dan pelabur antarabangsa yang lari dan tidak berminat untuk melabur di Malaysia dilaungkan secara sembrono.

Beberapa pimpinan PAS juga memetik ayat-ayat suci al-Quran secara serakah sehingga konteks ayat berkenaan tawheed yang Haq dan yang bathil tidak mempunyai apa-apa korelasi dengan tuntunan untuk mendakwa Zahid semula. Disertai dengan ‘Takbir’ selepas hampir setiap ucapan pemimpin PN seakan sudah menjadi budaya baru untuk mewujudkan sentimen agama, atau lebih tepat lagi, menunggang agama.

Seterusnya, laungan “Referendum” yang sepatutnya bergema sepertimana Wan Ahmad Fahysal cuba mainkan selepas PRN 6 negeri juga tidak kedengaran, digantikan dengan “Reformati!” yang tidak membekas sedikitpun bagi 500 peserta Gerakan Selamatkan Malaysia ini. Begitu ironi kerana setiap ‘chanting’ pada himpunan ini hampir sama dengan ‘chanting’ PR (Pakatan Rakyat) sebelum kejatuhan kerajaan Najib 2018. Tiada idea yang segar daripada PN yang boleh dijadikan sebagai identiti baharu.

Kesimpulannya, himpunan yang tidak bersandarkan sentimen bangsa dan agama tidak membakar amarah di dalam jiwa penyokong Perikatan Nasional, menyerang individu yang sudah lemah adalah sia-sia, namun perhimpunan ini boleh dijadikan ‘tikus makmal’ untuk siri perhimpunan yang mungkin diatur pada masa akan datang.

 

Sakhril Marat
Graduan Sains Politik UIAM

 

*Artikel ini memaparkan pandangan pembaca dan tiada ada kena mengena dengan pendirian portal kami. – MG

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast