Aminuddin Yahaya.

KUALA LUMPUR – Polis tidak perlu tergesa-gesa mengambil tindakan terhadap penganjur ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ atau mereka yang terlibat memberikan ceramah pada perhimpunan itu.

Ini kerana tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku berbanding siri-siri demonstrasi yang pernah dilakukan oleh pihak lain sebelum ini, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya.

Tambahan pula, berdasarkan akta baharu, tidak perlu perhimpunan yang diadakan memohon permit polis sebaliknya, hanya sekadar memaklumkan kepada pihak berkuasa itu.

“Tiada pun apa-apa insiden yang tidak diingini telah berlaku berbanding siri-siri demonstrasi Bersih dahulu yang menyebabkan kenderaan dan harta awam banyak yang rosak dengan keadaan yang begitu huru-hara.

“Lagipun akta baharu tidak perlu pun kepada permit cuma sekadar memaklumkan saja kepada pihak polis. Apa yang mahu dikecoh-kecohkan pula?” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sangat arif dengan perhimpunan-perhimpunan seperti itu termasuk pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menjadikan demonstrasi sebagai wadah untuk menyatakan pandangan mereka.

“Semenjak 25 tahun lepas, entah berapa ribu atau ratusan demo telah diadakan oleh puak-puak ini.

“Tiba-tiba naik kerajaan, orang lain tak boleh buat pula walaupun mengikut undang-undang?” soalnya.

Untuk rekod, sekurang-kurang 25 individu dipanggil untuk diambil keterangan berhubung himpunan yang diadakan pada Sabtu lepas.

Kesemua mereka diarahkan supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengikut masa dan ketetapan waktu. – MalaysiaGazette