Gambar hiasan

PULAU PINANG – Masalah kekurangan beras tempatan bertambah keruh apabila masing-masing peniaga dan pengguna isi rumah merungut tentang kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

Permintaan terhadap beras tempatan telah melonjak dan ratusan bungkus beras tempatan di sebuah pasar raya besar di Pulau Pinang seperti pisang goreng panas habis dijual dalam 90 minit sebaik sahaja diletak di atas rak.

Tinjauan China Press di Jelutong mendapati, sebuah pasar raya besar Lotus memperoleh ratusan bungkusanĀ  beras tempatan cap Rambutan dan Ketupat pada Sabtu, tetapi kesemuanya habis dijual dalam tempoh kurang dua jam.

Rak yang mempamerkan beras tempatan berada dalam keadaan kosong dan yang tinggal hanyalah beras import lebih mahal di rak sebelah.

Pasar raya itu menempah stok beras tempatan dua kali seminggu dan mereka yang tidak sempat menunggu hanya boleh membeli beras import.

Sementara itu, Pasar Raya GAMA di Pulau Pinang juga berdepan kekurangan stok beras tempatan kerana hanya menerima kurang daripada 100 bungkus beras tempatan berbanding lebih 500 bungkus pada Jun.

“Kami telah menempah daripada pembekal , tetapi stok tidak sampai lagi dan pelanggan asyik bertanya ,” kata seorang penyelia pasar raya.

Menurutnya, pihak pasar raya telah mengehadkan pembelian kepada dua bungkus kerana berlaku kekurangan bekalan.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai berkata, harga beras daripada pembekal telah meningkat RM4 dalam seminggu walaupun pihaknya tidak berdepan masalah kekurangan bekalan.

Jelasnya, beras untuk peniaga biasanya merupakan campuran beras tempatan dan beras import.

“Sebelum ini, harga modal untuk beras 10 kilogram adakah RM23 tetapi dinaikkan kepada RM30 dan keadaan ini kekal selama kira-kira dua bulan.

“Pada minggu lalu, harga dinaikkan kepada RM35 dan dinaikkan lagi kepada RM39 apabila saya menempah pada 15 September.

“Kami menerima bekalan seperti biasa, cumanya harganya naik secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.