PUTRAJAYA – Anjing Pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang pernah membantu mencari mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada akhir tahun lalu terpaksa ditidurkan (euthanized) pada jam 4.38 petang semalam selepas dikesan menghidapi barah lymphoma.
Menurut kenyataan JBPM, anjing pengesan dari disiplin Cadaver bernama Blake didiagnosis menghidapi barah lymphoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.
“Blake telah dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, University Putra Malaysia (UPM) pada 14 September lalu apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing tersebut.
“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar malah barah lymphoma yang dikesan pada anjing tersebut juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar,” katanya, hari ini.
Menurut kenyataan itu, hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr. Nur Alimah Rahman dari Fakulti Veterinar, UPM, JBPM bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Blake kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak, yang mana tiada harapan dipulihkan serta mengelakkannya menderita daripada kesakitan setelah mengambil kira kebajikan anjing tersebut.
Jelasnya, Blake yang berusia 7 tahun merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017.
Katanya, Blake telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepala air di Titi Hayun dekat Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.
Pencapaian Blake yang paling mencuri tumpuan rakyat sehingga diangkat antara wira adalah kejayaannya dalam membantu mencari mangsa timbunan tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu, ujarnya.
Menurut kenyataan itu, kehilangan Blake sudah pasti dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang enam tahun berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. – MalaysiaGazette