Mohd Nazri Mohd Noor

MELAKA – Kemelut bekalan beras tempatan yang terputus sejak lebih tiga bulan lalu terus menghimpit pengguna dan peniaga di negeri ini sehingga terpaksa beralih kepada beras import pada harga yang meningkat saban minggu.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa kedai runcit di Bachang di sini mendapati, rata-rata mereka mempersoalkan sampai bilakah masalah itu perlu dihadapi dalam suasana cabaran ekonomi hari ini.

Ibu tunggal, Zamrah Khalil, 38, berkata, dia terpaksa mencatu beras untuk keperluan harian empat anaknya berusia 4, 9,16 dan 17 tahun kerana terpaksa menggunakan beras import yang tidak terkawal harganya.

Zamrah Khalil

“Setiap kali beli beras kampit 10 kilogram (kg), saya akan cari beras tempatan berharga paling murah tanpa melihat jenama itupun sangat susah nak dapat kerana semua kedai tiada stok.

“Suka atau tidak, terpaksalah saya beli beras import pada harga hampir sekali ganda jadi terpaksalah saya kurangkan kuantiti nasi untuk anak-anak,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Peruncit, Mohd Nazri Mohd Noor, 45, berkata, kali terakhir dia mendapat bekalan beras tempatan kira-kira empat bulan lalu dan sejak itu pembekal hanya dapat menyediakan beras import yang dijual pada harga RM39 sekampit 10kg.

Mohd Nazri melayan pelanggan di kedai runcitnya yang terpaksa membeli berat import kerana terputus bekalan beras tempatan sejak empat bulan lalu.

“Beras tempatan sekarang ini macam menteri cakap tiada masalah dan tiada kenaikan, tapi berasnya mana? Kali terakhir saya dapat beras tempatan empat bulan lepas.

“Masalahnya pula beras import ini selang seminggu naik harga sampaikan sekarang dah lapan kali kenaikan menyebabkan peniaga pun tak tahan apatah lagi pengguna,” katanya.

Sultan Alawuddin HP Jamal Mohd

Pandangan sama dikongsikan peniaga Sultan Alawuddin HP Jamal Mohd, 53, yang berharap kerajaan tidak hanya pandai beretorik tanpa menceritakan keadaan sebenar.

“Memang terlalu ramai pelanggan terutama peniaga kedai makan merungut susah nak cari beras tempatan sejak hampir dua bulan lalu sehingga saya terpaksa jual beras import.

“Saya harap, kerajaan tolonglah lakukan sesuatu untuk bantu rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan pelbagai barangan asas selain beras,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast