KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan terhadap kebanjiran warga asing yang berniaga di sekitar Brickfields.
Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Dr Kalai Vanar mendakwa warga asing yang masuk ke negara ini semakin berani menjalankan perniagaan secara haram dengan hanya membuka meja menjual kuih dan manisan India.
Dakwa beliau, ini merupakan satu diskriminasi apabila rakyat negara ini yang ingin berniaga seperti itu dihalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Semua yang datang menggunakan pas pelawat tetapi mereka bermaharajalela dengan berniaga di sini. Mereka berniaga tanpa lesen dan letak satu meja dan ada ejen mengendalikan perniagaan dan menjaga mereka daripada tindakan DBKL.
“Kewujudan warga asing yang berniaga ini mengakibatkan warganegara nak buat perniagaan, DBKL datang rampas barang dan trak mereka.
“Nak jual apa pun kena rampas. Pernah berlaku kepada seorang wanita di mana trak dia dirampas DBKL,” katanya dalan sidang media di sini hari ini.
Tinjauan Kalai mendapati terdapat lebih 200 peniaga yang merupakan warga asing berniaga tanpa permit berniaga di Brickfields.
Langkah itu jelas Kalai menggugat ketenteraman dan kedudukan ekonomi dan sosial di negara ini.
“Sejumlah 237 peniaga kecil yang buka meja berniaga di sekitar Brickfields. Semua perkara ini berlaku dengan seluas-luasnya dipandang umum tetapi pihak DBKL masih tidak mengambil inisiatif bertindak dengan membatalkan lesen warga tempatan yang menyewa lesen mereka kepada warga asing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette