Aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che’gubard hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard mendakwa siasatan berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia bertentang dengan perlembangaan negara.

Beliau berkata, hak untuk berhimpun secara aman adalah jaminan perlembagaan yang termaktub dibawah Perkara 10(1)(B) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi siasatan terhadap kami ini adalah melanggar perlembagaan negara dan bukan bersandarkan pada undang-undang.

“Berdasarkan keputusan mahkamah pada 2014, Pendakwa Raya melawan Nik Nazmi Nik Ahmad (kini Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) yang menyatakan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) kegagalan penganjur memberi notis 10 hari sebelum umpama melarang himpunan terbabit.

“Kita tidak salahkan Peguam Negara dan polis kerana mereka ikut kehendak kerajaan memerintah. Dalam rakaman percakapan tadi pun saya gesa siastaan dan intimidasi ini perlu dihentikan segera,” katanya.

Chegubard turut membuat satu laporan polis terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama empat lagi peserta Himpunan Selamatkan Malaysia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Che’gubard turut membuat satu laporan polis terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ia berhubung siasatan yang dibuka terhadap dirinya dan beberapa individu dibawah APA susulan penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia.

Beliau yang juga Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia turut mendakwa kehadiran mereka pada 16 September lalu sebenarnya tiada perhimpunan dan perarakan.

“Pada hari tersebut tiada perarakan sebaliknya kami hadir bersolat dan berdoa bermunajat di Kampung Baru, kemudian Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berjalan kaki sekali ke Dang Wangi, bagaimana kami nak buat ditambah pula polis buat human barricade di depan dengan Sogo.

“Kemudian, Tun Faisal menggunakan mikrofon untuk meraikan menyokong serta bercakap dengan media, itu bukan ucapan. Jadi bagi saya (perhimpunan itu) tiada kesalahan namun itulah yang kita berdepan,” ujarnya,

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sedang mengesan tiga lagi individu yang masih gagal tampil memberi keterangan berkaitan penglibatan mereka dalam perhimpunan pada 16 September lalu.

Jelas beliau, setakat hari ini, polis sudah mengenal pasti 28 individu dan hanya 16 daripada mereka sudah tampil memberi keterangan. – MalaysiaGazette