KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang didakwa menipu pengurusan sekolah bagi kerja baik pulih kemudahan RM875,000 tiga tahun lepas mengaku tidak salah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kedua-dua tertuduh itu didakwa telah memperdaya Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Semenyih kononnya mereka telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih kemudahan di sekolah berkenaan.
Ketika prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkmah Sesyen, Rozina Ayob kedua-dua tertuduh, Mohd Syafeeq Mohd dan Cheah Seng Nam mengaku tidak salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Pengawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman ketika berhujah memohon dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.
Antaranya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.
Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM12,000 setiap seorang.
Ini kerana, kata Ridha, anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
Kata peguam itu juga anak guamnya, Mohd Syafeeq kini berniaga kedai minum secara kecil-kecilan manakala seorang lang, Seng Nam adalah bapa tunggal dan terpaksa menyara anak yang masih kecil.
Rozina kemudian menetapkan membenarkan dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.
“Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 25 Oktober ini,” katanya hari ini.
Jika sabit salah, kedua-dua mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette