Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias (paling kiri) memeriksa peket BPT di Pusat Operasi FAMA Senawang di Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Rakyat Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan beras putih tempatan (BPT) di negeri ini masih mencukupi.

Exco Kanan Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerajaan negeri melaksanakan intervensi bagi memastikan isu kekurangan bahan makanan itu dapat diatasi.

Menurut beliau, di bawah inisiatif tersebut, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan telah mengagihkan 2,000 BPT 10 kilogram yang dijual pada harga RM26 sepeket, hari ini.

“Yang penting jangan panik, jangan risau,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan selepas meninjau proses jualan BPT di Pusat Operasi FAMA Senawang di sini hari ini.

Jalaluddin memberitahu, hala tuju pemasaran dan pengedaran yang seterusnya adalah membekalkan BPT ke premis peruncitan FAMA dan Program Jualan Agro Madani.

Beliau menambah, FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACorp) juga akan melakukan kerjasama strategik bagi menyelesaikan permasalahan di kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan bekalan BPT.

“Intervensi pengedaran ini adalah pelaksanaan pengedaran BPT yang dilaksanakan kerajaan bagi memudahkan rakyat, mengurangkan beban dan kos sara hidup mereka dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Jalaluddin percaya, isu kekurangan bekalan BPT akan dinoktahkan apabila punca yang menyebabkan pengeluaran beras terjejas berjaya diselesaikan dan pelan intervensi pengedaran BPT dapat dioptimumkan dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast