Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus syarikat rugi RM1,100,431 selepas terjerat dengan penipuan tawaran kerja sambilan melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa warga tempatan berusia 52 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi media sosial itu pada awal Ogos lalu.

Mangsa pada mulanya ditawarkan kerja sambilan oleh sindiket scam menerusi telefon itu dan diminta membeli barangan sebelum menerima pulangan komisyen lumayan.

“Mangsa pernah menerima wang komisen berjumlah dolar AS100 bersamaan dengan RM458 sebelum ini daripada sindiket itu.

“Selepas itu, mangsa terpedaya dengan tawaran sindiket itu telah membuat bayaran pembelian barang ke dalam 14 akaun bank berbeza seperti yang diarahkan oleh suspek phone scam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam menambah sehingga kini mangsa tidak mendapat komisen yang dijanjikan sindiket itu dan telah mengalami kerugian berjumlah RM1,100,431.

Siasatan lanjut polis mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi phone sca iaitu tipu menawarkan kerja sambilan melalui platform media sosial yang dijanjikan pulangan komisen.

Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan dan juga denda jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum terlibat dalam sebarang urusan tawaran yang tidak pasti kesahihannya di media sosial oleh orang tidak dikenali serta menyemak dahulu kesahihan sesuatu urusniaga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi kewangan kedalam sebarang akaun yang meragukan,” tegasnya.- MalaysiaGazette