Wennorlie (kiri) mewakili MMRP ke peringkat akhir kategori Syarahan Bahasa Arab Lelaki dan Muhamad Muslim (kanan) bagi kategori Hafazan.

RANTAU PANJANG – Tiga pelajar Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) dipilih mewakili Kelantan ke pertandingan hafazan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Mereka ialah Muhamad Muslim Abd. Ghaffar untuk kategori hafazan, manakala Wennorlie Mohd Noor kategori syarahan Bahasa Arab lelaki dan Iman Adil kategori syarahan Bahasa Arab Perempuan.

Mereka bersama peserta lain dari seluruh negara akan berentap di Dewan Utama Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur.

Iman Adil (kiri) mewakili MMRP ke peringkat akhir bagi kategori Syarahan Bahasa Arab Perempuan.

Menurut Setiausaha Kokurikulum MMRP, Awang Isa Ismail, ketiga-tiga pelajar berkenaan sebelum ini muncul juara dalam pertandingan hafazan dan syarahan di peringkat Kelantan.

“Mereka telah mengharumkan nama sekolah MMRP di peringkat negeri untuk melayakkan ke peringkat kebangsaan Sabtu ini.

“Besar harapan saya, semoga mereka berjaya menjulang juara di peringkat kebangsaan nanti,” katanya.

Pertandingan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari untuk kategori perempuan, manakala jam 2.30 hingga 6.30 petang bagi kategori lelaki.

Kategori pertandingan ialah tilawah al-Quran, hafazan, syarahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Kitab Turath, Kitabatul Maqal dan kuiz.

Pada sebelah malam pula berlangsung pertandingan nasyid lelaki dan majlis penutupan pada Ahad. – MalaysiaGazette

Penulis – Abd. Ghaffar Daud