Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Murid-murid dibenarkan memakai pakaian tradisi bersesuaian dan sopan sewaktu menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, kebenaran itu berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 3/1984: Garis
Panduan Mengenai Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-Sekolah.

Kenyataan KPM merujuk isu tular mengenai kebenaran pemakaian pakaian tradisi mengikut kaum dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang melibatkan murid-murid di institusi pendidikan bawah KPM baru-baru ini.

“Merujuk kepada isu tular yang dilaporkan oleh beberapa portal berita, pihak sekolah terbabit telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama wakil ibu bapa dan murid-murid.

“Penambahbaikan kepada penganjuran aktiviti yang dirancang telah dilakukan oleh pihak sekolah dan isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.

“Murid-murid sekolah terbabit dibenarkan untuk memakai pakaian tradisi mengikut kaum masing-masing dan pakaian tradisi kaum lain,” kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Kebenaran juga diberi kepada murid-murid untuk memakai hiasan tambahan seperti gelang, rantai dan aksesori mengikut kesesuaian pakaian tradisi.

Menurut kenyataan yang sama, KPM sentiasa menggalakkan penglibatan murid-murid dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.- MalaysiaGazette