Sebahagian daripada 23 individu terlibat dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian digempur polis di dua unit kediaman di Persiaran KLCC hari ini.- Gambar Ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian yang menyasarkan mangsa di luar negara dilumpuhkan polis di sini awal pagi tadi.

Seramai 23 individu disyaki ahli sindiket berkenaan telah ditahan di ibu negara, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.

Menurutnya, pada pukul 12.15 tengah malam, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya telah membuat serbuan ke atas dua unit premis kediaman di Persiaran KLCC.

“Hasil serbuan dengan kerjasama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur itu berjaya membawa kepada penahanan seramai 23 individu melibatkan 12 orang lelaki warga tempatan, sembilan lelaki dan dua wanita warga asing.

“Kesemua suspek yang ditahan adalah berumur lingkungan 18 tahun hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pemeriksaan ke atas mereka di kedua-dua unit itu berjaya membawa kepada rampasan 31 unit telefon bimbit; 14 unit CPU; 14 unit monitor; 10 unit papan kekunci; 10 unit tetikus; seunit komputer riba; seunit router; seunit modem dan sekeping kad akses kedua-dua unit tersebut.

Tambah Noor Dellhan, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi selama hampir sebulan lalu.

Katanya, sindiket itu menyasarkan mangsa di luar negara dengan menggunakan aplikasi media sosial.

“Sindiket ini telah mewujudkan profil peribadi palsu untuk memperdayakan mangsa dengan tawaran kerja dengan komisen tinggi.

“Semakan lanjut polis juga mendapati dua daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau. Kesemua individu itu kini direman selama empat hari sehingga 24 September ini bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang- undang.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette