Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Dewan Negara hari ini mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan agensi, badan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berperanan mengawal selia semua urusan berkaitan nadir bumi di negara ini.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata dengan penubuhan itu, kerajaan dapat menyelaraskan hasil penjualan nadir bumi selain mengelakkan konflik kepentingan antara kerajaan di negeri yang mempunyai sumber hasil bumi itu dengan kerajaan pusat.

“Kewujudan agensi, badan atau GLC ini adalah bagi mengawal harga dan menentukan hasil negara ini tidak hilang begitu sahaja. Dalam kata lain, kerajaan negeri boleh korek (gali nadir bumi) tetapi akhirnya ia harus dijual kepada kerajaan.

“Kita boleh mencontohi penubuhan Petronas, yang melaluinya kerajaan dapat mengawal selia penjualan produk petrolium walaupun sumbernya terletak di kawasan negeri-negeri berlainan di Malaysia,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara hari ini.

Mohd Hisamudin berkata berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), unsur nadir bumi itu kebanyakan berada di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Wakil Putrajaya itu juga yakin penubuhan agensi, badan atau GLC tersebut boleh mengelak daripada berlakunya eksploitasi harga, eksport haram dan kehilangan sumber nadir bumi, sekali gus menjamin pulangan serta keuntungan maksimum kepada negara.

Sementara itu, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad memuji kecemerlangan ditunjukkan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam membuka lembaran baharu hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar, antaranya pembukaan semula pejabat perwakilan negara di luar negara.

Tanpa berniat mengungkit kisah pentadbiran sebelum ini, beliau berkata usaha yang diteroka Zambry wajar dipuji kerana telah memulihkan semula hubungan diplomatik negara lain dengan Malaysia.

“Alhamdulillah, saya mendapat perkhabaran banyak pejabat pewakilan negara telah dibuka semula seperti di negara di Timur Tengah, Asia Timur dan Amerika Latin.

“Berbanding dalam negara, beliau (Zambry) lebih banyak berada dan bercakap di luar negara dan ini adalah baik kerana sebagai seorang Menteri Luar, tugasnya adalah memulih serta mengukuhkan hubungan diplomatik…Alhamdulillah, ciri-ciri ini ada pada Zambry,” katanya.

Azhar yakin dengan pembukaan banyak pejabat perwakilan negara di luar negara, Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan asing ditambah lagi dengan peranan baik yang dimainkan Zambry selaku perantara Malaysia dengan negara lain.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast