Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati beberapa pelaporan berita telah dijadikan ‘senjata’ untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.

Suruhanjaya itu memandang serius kesan daripada pelaporan yang kurang bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Bagi mencegah sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) MCMC meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta juga saluran berita

“MCMC menasihatkan pengamal media serta saluran berita untuk merujuk kepada Kod Kandungan yang memberi panduan jelas berhubung standard kandungan yang selaras dengan AKM 1998.

“Dengan mematuhi Kod Kandungan, pengamal media
dapat memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan bersuara.

“Garis panduan yang digariskan dalam Kod Kandungan menggalakkan pendekatan bertanggungjawab dalam peruntukan kandungan dan prosedur kawalan kendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fahmi pendekatan tersebut bertujuan untuk memupuk kreativiti, inovasi dan pertumbuhan sihat dalam industri.

Suruhanjaya tersebut menjawab laporan berita yang disiarkan sebuah portal berhubung ucapan yang disampaikan di Parlimen baru-baru ini.

MCMC juga menjawab hantaran Facebook wartawan, Datuk A Kadir Jasin hari ini yang mengkritik tindakan suruhanjaya itu.

MCMC berkata, pihaknya menekankan kepentingan pelaporan tepat yang merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen tanpa menggunakan kandungan berkenaan bagi tujuan menyebarkan kebencian dan mencetuskan provokasi.

Menurutnya, dengan mengikuti garis panduan saluran berita boleh menyumbang kepada suatu wacana yang lebih seimbang dan termaklum, bebas daripada sebarang manipulasi dan maklumat yang kurang tepat.

“MCMC menggesa pelaporan bertanggungjawab yang menekankan kepada ketepatan konteks liputan berita.

“Adalah penting bagi pengamal media untuk mempraktikkan pertimbangan yang beretika dan mengelakkan daripada menggunakan kandungan berita sebagai senjata untuk menyebarkan maklumat palsu,” katanya.

A. Kadir dalam kenyataan mendakwa, tindakan sesetengah pemimpin Kerajaan Perpaduan dan agensi-agensi yang berkaitan dengan media massa memberi gambaran mereka kurang toleransi terhadap kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat.

Menurut wartawan itu, beberapa orang rakan wartawan yang menganggotai satu kumpulan WhatsApp turut membangkitkan tindakan MCMC terhadap portal berita MalaysiaNow.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.