KUALA LUMPUR – Peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin berkurangan ekoran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Abdul Hadi tidak boleh dipersalahkan kerana memilih untuk bersama Dr. Mahathir.
“Rekod prestasi politik Tun Dr Mahathir adalah jauh lebih baik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Awal bulan ini, Abdul Hadi mengetuai sekumpulan pemimpin Pas bertemu Dr Mahathir bagi membincangkan tentang pembangunan ekonomi di negeri-negeri yang dikuasai parti itu.
Pertemuan itu turut disertai Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan empat menteri besar iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Kelantan) dan Mohd Shukri Ramli (Perlis).
Pada 14 September lalu, Dr Mahathir diumumkan sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri di bawah Pas yang juga dikenali sebagai SG4.
Salleh memberitahu, pertemuan itu mengejutkan ramai pemerhati politik kerana tiada siapa menyangka Abdul Hadi mempunyai pandangan politik yang jauh.
Beliau menambah, adalah jelas Abdul Hadi mahu mengekalkan momentum gelombang hijau dan terus mengaut hasilnya.
“Abdul Hadi ingin mengekalkan apa yang diperoleh Pas semasa Pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN),” jelasnya.
Salleh tidak menolak kemungkinan Muhyiddin meneroka dan mempertimbangkan pilihan-pilihan politik lain ekoran perkembangan tersebut.
Menurut beliau, seperti Dr Mahathir, Muhyiddin juga percaya bahawa tiada musuh kekal dalam politik.
“Beliau masih lagi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Beliau perlu bergantung kepada dirinya sendiri untuk melindungi kepentingan politik dan cita-citanya,” jelasnya.
Salleh berpandangan perkembangan politik terkini itu mungkin dilihat oleh kumpulan pemikir dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai satu ancaman atau peluang. – MalaysiaGazette