KUALA LUMPUR – Kejayaan Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) membawa pulang seorang mangsa dalam jenayah penipuan pekerjaan di Myanmar kelmarin tidak akan terhenti di situ sahaja.
Sebaliknya Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri memandangkan masih ada lagi rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar lebih setahun lalu akibat terpedaya dengan sindiket pemerdagangan manusia.
“Bagaimana kita boleh senang duduk apabila keluarga mangsa yang menghubungi MHO masih lagi berharap ahli keluarga yang diperdayakan oleh sindiket pekerjaan antarabangsa itu pulang kembali ke pangkuan keluarga.
“Kejayaan MHO membantu membawa pulang seorang mangsa kelmarin dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan Thailand sememangnya luar biasa tetapi usaha ini perlu berterusan bagi memastikan keselamatan dan kepulangan rakyat kita yang masih terperangkap dengan sindiket pemerdagangan manusia dahsyat ini.
“Kita gagal menyelamatkan mangsa lain dan tidak tahu bagaimana hendak selamatkan mereka tanpa sebarang bantuan pihak berwajib. Saya harap sangat perkara ini menjadi fokus penting dan kerajaan juga membantu golongan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kelmarin MHO menyelamatkan seorang lelaki warga Malaysia yang bukan sahaja menjadi mangsa pemerdagangan sebaliknya didera dengan begitu teruk seperti dicucuh dengan api jika enggan menjadi ‘scammer’.
Hishamuddin berkata, pihaknya yang mendapat aduan pihak keluarga berhubung pemuda itu kemudian bertindak menghantar wakil MHO, Azirul Shafiq ke Thailand untuk misi menyelamat mangsa.
Dalam pada itu, Hishamuddin juga menasihatkan waris keluarga anak mereka yang terjebak sebagai mangsa dalam jenayah penipuan pekerjaan di luar negara diingatkan agar tidak sekali-kali membayar tebusan.
Ini kerana ada yang terpedaya sudah membayar sehingga RM1 juta namun mangsa tidak juga dibebaskan
Beliau berkata, pihaknya ada menerima kes yang seorang bapa terpaksa menggadaikan tanah pusaka miliknya demi menyelamatkan anak di luar negara dan sudah membayar RM90,000 kepada sindiket tetapi mangsa tidak dibebaskan sebelum melaporkan kepada MHO.
“Paling sedih sekali apabila ada yang mengenakan tebusan itu rupa-rupanya didalangi seorang ahli perniagaan terkenal warga Malaysia sendiri dan sindiket itu tidak pernah menawarkan sebarang tebusan bagi pembebasan mangsa yang dibawa ke Myanmar.
“Sebaliknya mangsa akan dikerah bekerja sebagai penipu atas talian dengan diawasi sekumpulan samseng rakyat Malaysia yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah itu. Situasi tersebut menyebabkan ada individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan kononnya boleh berunding bagi membebaskan mangsa,” katanya. -MalaysiaGazette