Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis siasat insiden seorang guru sekolah rendah di Kampung Jawa, Klang yang didakwa telah menampar di pipi seorang murid atas alasan kanak-kanak itu dikatakan menipu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada 19 September lalu, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang wanita yang menyatakan mengenai insiden menimpa anak lelakinya di sekolah tersebut.

Wanita warga tempatan berumur 42 tahun itu mendakwa  semasa kejadian pada 18 September lalu, pengadu dimaklumkan oleh anak lelakinya yang dia telah ditampar oleh seorang guru wanita yang mengajar agama Islam.

“Hasil siasatan polis mendapati semasa kejadian pada  5.50 petang itu, anak pengadu yang berumur tujuh tahun bersama rakan sekelasnya berada di dewan sekolah sebelum pulang ke rumah setelah selesai acara sukan.

“Lalu guru wanita yang mengajar Pendidikan Islam bertanya kepada semua murid berkenaan tentang surat pemberitahuan mengenai hari sukan sekolah yang telah diberikan kepada mereka.

“Anak pengadu terus menjawab pertanyaan guru itu bahawa surat berkenaan telah hilang dan dipercayai dicuri oleh kawannya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun beliau menambah sewaktu menjalankan siasatan mendapati surat itu tidak hilang dan berada di dalam beg anak pengadu.

Katanya, guru itu telah menegur anak pengadu supaya jangan menuduh orang lain tanpa bukti  sebelum dikatakan menampar pipi kanak-kanak berkenaan.

“Tindakan guru itu mengakibatkan anak pengadu mengalami bengkak sedikit dan tanda kemerahan di pipi kiri,” ujarnya.

Bertindak atas laporan polis ibu mangsa itu, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Jika disabitkan kesalahannya boleh dihukum penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda yang boleh sampai RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.

Polis  akan merakam percakapan guru yang yang terlibat dalam insiden itu dan juga saksi-saksi yang boleh membantu siasatan.

“Selain itu, pihak polis juga telah terkesan satu surat pemeriksaan doktor dan gambar kecederaan anak pengadu yang telah tular di media sosial.

“Oleh itu polis menasihatkan kepada orang awam supaya berhenti menularkan surat tersebut serta merta dalam media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast