Mohd Na'im menyerahkan replika sumbangan mesin braille kepada seorang kanak-kanak buta pada Majlis Hi-Tea Semarak Budi Sepetang Berinfaq Bahagia Ke Jannah di Kuala Lumpur hari ini.

KUALa LUMPUR – Mufti di negeri-negeri perlu tampil bagi menjelaskan isu-isu berkaitan agama bagi mengelak sesuatu perkara berkaitan agama Islam dimanipulasi pihak-pihak tertentu termasuk orang politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peranan mufti sangat penting dalam memperjelas sesuatu hukum dan mereka harus ke hadapan sebelum masyarakat menjadi keliru.

“Saya banyak kali sebut, bila mana soalan berkaitan dengan hukum kita ada bahagian yang berauthoriti…yang ini ditekankan oleh duli-duli tuanku khususnya Sultan Selangor sebagai pengerusi MKI. (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam).

“Banyak baginda menyebut tentang urusan hukum ini diserahkan kepada orang yang berautoriti di mana dekat negeri-negeri adalah mufti.

“Jadi, sebab itu saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Wan Salim, Mufti Pulau Pinang atas pandangan hukum yang telah diberikan oleh beliau,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Semarak Budi Sepetang Berinfaq Bahagia Ke Jannah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya teguran Wan Salim terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How susulan dakwaan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran menerusi video tular baru-baru ini.

Menurut laporan, Wan Salim menyifatkan tindakan mentafsir al-Quran sewenang-wenangnya ibarat mempermainkan kalam Allah dan tidak boleh diterima sama sekali.

Tegasnya, pelaku yang bertindak sedemikian juga boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, dalam isu membabitkan ahli Parlimen DAP itu, jika dilihat dalam perspektif politik ia akan menjadi bahan kepada orang politik.

“Itu pendekatan politik, satu masa kita kata bukan Islam ni boleh keluarkan pandangan dan sebagainya, tapi, bila kita tak sefahaman, oh kita kata tak boleh pula keluarkan pandangan.

“Jadi, tu sebab kita nak elakkan hukum ni dikeluarkan oleh orang politik …biar orang yang berautoriti. Saya sendiri pun sebagai menteri agama saya telah minta kepada Datuk Lokman (Mufti Wilayah Persekutuan) keluarkan fatwa hukuman dan pandangan yang akan jadi pendoman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut melihat perkara berkenaan menyentuh mengenai isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Bagaimanapun beliau gembira kerana ada dalam kalangan bukan Islam yang merupakan ahli Parlimen mahu merujuk al-Quran dalam hujahnya.

Akan tetapi kata beliau, dalam konteks al-Quran, ia perlu ada disiplin dan mufti-mufti perlu menerangkan dan tidak boleh pandangan dikeluarkan mengikut selera masing-masing.

“Ya, kalau kita tengok secara logiknya begitu, sebab kalau boleh dalam isu menyentuh 3R ni cuba elakkan…sama ada dipihak pemerintah atau pembangkang sebabb ini yang dah diserukan oleh baginda (Raja-Raja) banyak kali

“Tapi, kalau ia ada melibatkan persoalan kita carilah mufti,” tambahnya. – MalaysaiGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tafsir al-Quran sesuka hati, pelakunya boleh didakwa – Mufti Pulau Pinang

 

1 Komen

  1. Mufti adalah penasihat kepada baginda sultan2. Sultan2 adalah ketua agama nombor satu disetiap negeri dalam mempertahankan kesucian Islam dari disalahguna oleh pemimpin2 DAP.

    Jangan terus membisu takut2 nanti kapir2 ini akan lebih aggressive menginjak2. Ambil iktibar dari peristiwa Ahok di Indonesia, mereka bersatu padu mempertahankan Islam.

    Ini adalah pendapat rakyat bawahan sahaja.

Comments are closed.