Anggota Jabatan Pengakutan Jalan Malaysia (JPJ) memeriksa kenderaan berat pada Operasi Penguatkuasaan Ops Bersepadu di Tol Awan Besar, Selangor. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan operasi khas di seluruh negara melibatkan kenderaan perdagangan khususnya lori yang membawa lebih muatan pada minggu depan.

Ia rentetan daripada  kemalangan maut lori muatan pasir yang merempuh 13 kenderaan sehingga mengorbankan dua penunggang motosikal baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada semua pengarah-pengarah JPJ negeri untuk membuat operasi khas itu.

“Jadi semua operasi khas yang berfokuskan kenderaan perdagangan lebihan muatan di seluruh negara ini akan dijalankan secara serentak mulai minggu depan,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Operasi Penguatkuasaan Ops Bersepadu menyasarkan kenderaan motosikal selain pemeriksaan ke atas kenderaan lain di Plaza Tol Awan Besar menghala ke Kuala Lumpur  malam tadi.

Mengulas lanjut,  Aedy Fadly berkata, beliau sendiri akan mengetuai operasi khas kenderaan perdagangan itu untuk memastikan keberkesanannya secara telus tanpa sebarang kompromi.

“Selain itu, kita juga telah mengambil tindakan untuk mengarahkan juga Ibu Pejabat JPJ khususnya penguat kuasa untuk memantau operasi-operasi ini secara rapi dan mengemukakan laporan penuh dan lengkap kepada pengurusan tertinggi JPJ dan juga Kementerian Pengangkutan.

“Jadi kita akan melihat dan kerjasama juga kita akan laksanakan bersama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk polis untuk operasi khas menyasarkan kenderaan perdagangan itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette