Seorang pemandu lori yang terbabit nahas 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara Putrajaya pagi semalam ditahan reman selama empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pemandu treler yang terbabit dalam insiden rempuhan lebih 14 kenderaan di Putrajaya dan menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia dituduh di mahkamah Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, individu berkenaan akan dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, perintah reman turut dilanjutkan selama dua hari.

“Reman dilanjutkan dua hari untuk OKT (Orang Kena Tuduh) terus dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, sebuah treler hilang kawalan lalu melanggar susur jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil menjadi punca kemalangan menyebabkan dua maut dan tujuh cedera.

Pemandu treler berkenaan mengalami luka ringan di tangan.

Sebelum ini disahkan antara sebanyak 14 buah kenderaan terlibat termasuklah treler, sebuah lori, tujuh kereta serta lima motosikal, termasuk sebuah motosikal polis trafik.

Mangsa yang maut di tempat kejadian merupakan dua penunggang motosikal berusia 26 dan 39 tahun.

Sebagai rekod, pemandu treler tersebut disahkan tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.- MalaysiaGazette