YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York, Amerika Syarikat pada 22 September 2023. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu berbangga dengan penghormatan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membaca khutbah di Masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), Amerika Syarikat semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia merupakan kali pertama seorang pemimpin negara ini diberikan pengiktirafan itu selain mengislamkan saudara baharu di masjid berkenaan.

“Saya difahamkan ini kali pertama seorang pemimpin dunia Islam diberikan penghormatan untuk memberikan khutbah di masjid tersebut di New York.

“Masjid baharu yang agak besar. Jadi, bila pengerusi masjid tersebut telah mengajak Perdana Menteri untuk menyampaikan khutbah, beliau terima sebab ini adalah satu ajakan atau pun jemputan yang menunjukkan bagaimana mereka mengiktiraf pemimpin Malaysia untuk menyampaikan khutbah di sana.

“Pada saya yang ni kita patut rasa bangga,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Semarak Budi Sepetang Berinfaq Bahagia Ke Jannah di sini hari ini.

Mohd Na’im menyantuni seorang kanak-kanak buta pada Majlis Hi-Tea Semarak Budi Sepetang Berinfaq Bahagia Ke Jannah di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penghormatan kepada Perdana Menteri bagi menyampaikan khutbah di pusat yang merupakan masjid pertama dibuka di bandar raya New York.

Dalam khutbahnya yang disampaikan di hadapan lebih 800 jemaah, Anwar berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Anwar turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkannya di Malaysia serta ancaman Islamofobia di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, kerelaan Perdana Menteri mengislamkan seorang lelaki selepas menyampaikan khutbah merupakan satu perkara yang besar ganjarannya.

“Kita pun tahu betapa besarnya pahala seorang individu yang Islamkan saudara dia dan apabila pemuda itu tertarik walaupun dia ada niat masuk Islam tetapi dia mendengar khutbah daripada Perdana Menteri terus menzahirkan hasrat tersebut (masuk Islam) dan ini satu kegembiraan.

“Apabila PM telah diberikan tanggungjawab dan amanah tersebut diterima oleh beliau dengan senang hati. Alhamdulillah,” ujarnya. – MalaysiaGazette