JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai melakukan provokasi hingga mencetuskan insiden pergaduhan pada sebuah acara himpunan motosikal di pantai desaru, kota tinggi malam tadi.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 50 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Kota Tinggi dan Johor Bahru pagi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham antara sekumpulan peserta tempatan dengan peserta dari luar negara pada petang semalam sebelum dileraikan anggota polis bertugas.
Bagaimanapun pertengkaran yang dipercayai dimulakan oleh peserta tempatan itu berlarutan kira-kira jam 9 malam hingga berlaku insiden membaling objek termasuk kerusi.
“Pada peringkat awal ada melibatkan bukan warga asing dari kumpulan Hell Angle dari Arizona, Amerika Syarikat. Mereka datang seramai 78 orang ke sini dan telah dikacau oleh grup yang lain (grup tempatan} yang mungkin salah fahamlah perkataan dan cabar mencabar.
“Kes ini masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru petang tadi.
Mengulas lanjut insiden berkenaan, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua suspek yang ditahan turut mengalami kecederaan termasuk salah seorang daripada menerima empat jahitan di kepala.
Polis juga akan mendapatkan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek di mahkamah dalam masa terdekat dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, video kejadian merusuh di pantai awam Desaru yang membabitkan dua pihak termasuk perserta antarabangsa tular di media sosial.- MalaysiaGazette