Tiong King Sing
Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR – Perbuatan terkutuk seperti memasang kamera tersembunyi seperti yang didakwa dilakukan oleh sebuah inap desa di Sabah boleh menjejaskan imej industri pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya memandang serius terhadap dakwaan yang dibuat oleh seorang pelancong asing itu.

Sehubungan itu, beliau telah meminta kerajaan negeri Sabah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya.

“Hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan kepada mana-mana pihak yang terbukti bersalah kerana perbuatan terkutuk seperti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi juga menjejaskan imej industri pelancongan negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dakwaan pelancong terbabit didedahkan melalui platform media sosial Xiaohongshu yang berpangkalan di Shanghai pada 14 September lalu dan diulang siar oleh portal berita tempatan.

King Sing mengingatkan semua pengusaha indap desa atau pemilik yang berdaftar dan memperoleh penggredan daripada MOTAC bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang.

Menurut beliau, antara tindakan yang boleh dilakukan adalah membatalkan pendaftaran dan menarik balik penggredan.

“Pada masa yang sama, saya turut mengingatkan kepada semua pengusaha inap desa atau pemilik yang berdaftar di bawah Airbnb untuk meningkatkan taraf kesedaran dan mengambil perhatian serius terhadap disiplin serta memeriksa latar belakang pekerja masing-masing.

“Tidak dinafikan perkara seperti ini mungkin terjadi disebabkan perbuatan peribadi yang dilakukan oleh para pekerja inap desa atau Airbnb yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

King Sing menegaskan, MOTAC tidak akan sesekali berkompromi terhadap kejadian seperti itu dan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast