Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Parti politik di negara ini ditegur kerana asyik bergaduh dan bertengkar sesama sendiri sehingga usaha untuk memulihkan ekonomi tidak berjalan dengan baik.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim turut menasihatkan pimpinan kerajaan agar tidak melayan tohmahan dan isu murahan dibangkitkan pembangkang.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus ke depan dengan melaksanakan segala perancangan yang diatur sejak mengambil alih kerajaan Persekutuan pada November tahun lalu.

“Kalau asyik bergaduh, macam mana kita nak buat ekonomi negara kita kukuh dan stabil sebagaimana Anwar janjikan ketika di New York malam tadi?

“Kalau kita asyik melayan dan menjawab segala tohmahan atau bangkitkan isu lama, macam mana kita nak kukuhkan ekonomi kita, sedangkan banyak aspek ekonomi perlukan pembetulan dan penambahbaikan.

“Lagipun rakyat hidup dalam kesempitan akibat kos sara hidup yang tinggi dan ditambah pula beras tempatan tidak ada di pasaran. Ini yang kerajaan harus ikhtiar, bukan fikir nak buat laporan polis ke atas pemimpin pembangkang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Zaid berharap, kerajaan tidak pedulikan apa pembangkang nak kata, yang penting tumpukan usaha menolong rakyat dalam soal ekonomi khususnya.

Kata beliau, kalau masih lagi berkisar kepada perkara lama, ia tidak akan berakhir dan sentiasa berputar sampai bila-bila terutama seperti kes liwat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah hampir setahun apa nilai kebaikan dan nilai tambah kepada rakyat pun tak nampak lagi. Disebabkan kenaikan harga barangan yang naik mendadak tidak dikawal, dijangkakan kehidupan rakyat akan bertambah sempit, sesak dan sukar ditahun mendatang?

    Dihidangkan dengan sembang2 kari kosong setiap hari tidak akan menyelesaikan masalah, peace.

Comments are closed.