Ling Tian Soon

KUALA LUMPUR – Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon dipilih sebagai ketua pemuda MCA yang baharu, selepas keputusan rasmi pemilihan ahli jawatankuasa pusat sayap itu diumumkan Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon, tengah malam tadi.

Ling yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, menang selepas memperoleh 130 undi, mengalahkan dua pesaingnya Danial Wa Wai How yang meraih 58 undi, manakala Bernard Chan Kee Siang gagal memperoleh undi.

Jawatan itu tidak dipertahankan Datuk Nicole Wong, yang bertanding jawatan naib presiden bagi pemilihan kali ini.

Sementara itu, Wong You Fong pula dipilih sebagai ketua wanita yang baharu selepas menerima 281 undi, berbanding 98 undi yang diraih pencabarnya, Datuk Ooi Siew Kim.

Hari ini pula akan berlangsung pemilihan bagi jawatan utama parti membabitkan jawatan presiden, naib presiden dan ahli-ahli jawatankuasa pusat, dengan keputusan dijangka diumumkan selepas pengiraan undi yang bermula pada 7 petang.

Pada pemilihan kali ini, Datuk Dr Mah Hang Soon mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden, selepas menang tanpa bertanding.

Proses pemilihan parti itu dibuat mengikut Perkara 167 Perlembagaan MCA, yang memperuntukkan bahawa pemilihan perlu diadakan dalam tempoh enam bulan, selepas pilihan raya umum. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast